Friday, November 12, 2010

Berinfaklah dengan sedekah atau zakat

Assalamualaikum w.b.t,

Saya mulai perbincangan ini dengan mengemukakan sebuah peringatan daripada Rasulullah SAW: “Orang fakir miskin bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan (orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat),” (Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah r.a)




Hakikatnya, fakir dan miskin sentiasa wujud dalam keadaan apa sekali pun. Satu-satunya catatan sejarah menunjukkan, fakir dan miskin mungkin pernah ‘hilang’ seketika, ialah pada era pemerintahan Umar bin Abdul Aziz pada tahun 717-720 M dalam Dinasti Bani Umayyah.



Walau bagaimanapun, dipercayai fenomena ‘hilang’ sekejap ini, bukan kerana tiada langsung fakir dan miskin. Tetapi, kerana sumbangan beberapa faktor lain. Antaranya, keadilan Umar mengembalikan harta rakyat yang sebelumnya diambil secara zalim dan juga pemerkasaan kefahaman Islam menerusi tarbiyyah, sehingga menjadikan rakyatnya kaya daripada sudut jiwa dan hati.



Dalam Islam, kekayaan itu sendiri dibahagikan kepada dua, iaitu kaya jiwa dan kaya harta. Kekayaan jiwa adalah lebih utama, kerana ia menjamin maruah seseorang, sehingga dia tetap mempertahankan integritinya daripada terjebak ke dalam salah laku seperti rasuah dan zina sekali pun dia miskin harta.



Dalam hal ini, sekali lagi nabi menyatakan: “Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-Nya yang bersifat takwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi),” (Hadis riwayat Muslim) di samping hadis yang popular; “Kaya itu bukanlah kerana banyaknya harta, tetapi kaya itu adalah kayanya jiwa,” (Hadis riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah)

Dua hadis di atas adalah sejajar dengan hadis yang saya paparkan di awal perbincangan. Si miskin yang kekurangan harta tetapi kaya jiwa dan hatinya; tidak akan sengaja menjaja kemiskinannya. Mereka menahan diri daripada menzahirkan kemelaratan diri; namun mereka masih dapat dikenali sebagai fakir dan miskin berdasarkan keadaan mereka. Mereka inilah yang amat layak untuk dibantu oleh institusi zakat.



Firman Allah: “(Berinfaklah dengan sedekah atau zakat) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya karena (mereka) memelihara diri daripada minta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa sahaja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,” (al-Baqarah: 267). Wallahua’lam.

*Nota : Sila amalkan ayat 82, Surah Al-Israq. Ini untuk lembutkan hati anak-anak, isteri, suami & etc. Ambil secawan air & baca ayat ini 3X & hembus & bagi minum.

Selamat menunut ilmu & beramal

Wassalam..

Basteng

No comments: